Gua Bikin Handmade & Art Market ini akan diadakan pada 29 – 30 April 2017 bermula jam 12.00 tengah hari hingga 9.00 malam bertempat di No. 15, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka. Gua Bikin Handmade & Art Market atau Pasar Buatan Tangan & Seni ini akan menghimpunkan 31 orang pengusaha barangan buatan tangan, seniman dan pembuat kraf tangan dari Melaka, Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Mereka akan mengadakan jualan hasil seni dan produk eksklusif mereka sepanjang dua hari acara ini berlangsung.
Di antara kelainan yang terdapat pada Gua Bikin Handmade & Art Market adalah produk yang dipamerkan yang memberikan penekanan kepada produk tempatan secara artisanal, dibuat semula atau ‘repurposed’, produk organik, produk DIY, kraf orang asli dan manik, teknologi hijau, pertanian bandar atau ‘urban farming’ dan terapi sosial melalui seni. Melalui pasar buatan seni ini, adalah diharapkan ia dapat meningkatkan kesedaran mengenai kaedah alternatif pengeluaran, menghargai produk buatan tangan dan jalinan komuniti melalui penciptaan seni.
Acara-acara lain yang akan diadakan sempena pasar buatan tangan ini adalah Bengkel DIY Solar, Bengkel Kraftangan Membuat Gelang Macramé dan juga Seni Lukisan Inai. Bengkel-bengkel ini masih membuka penyertaan kepada orang awam yang berminat. Di samping itu, turut diadakan juga sesi perkongsian pengalaman daripada acara The Breathing Library yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk memilih buku yang diminati dan berpeluang berinteraksi dan berkongsi pengalaman sendiri dengan penulis buku tersebut secara peribadi.
Untuk maklumat yang lebih lanjut, sila hubungi Puan Nini di talian 013 – 931 0079 (Bengkel DIY Solar) dan Cik Jesse di 016 – 6709798 (Bengkel
Kraftangan Membuat Gelang Macramé).