Pencapaian Industri Pelancongan Negeri Melaka 2017

Sungai Melaka

1. Tahun 2017 merupakan tahun pencapaian gemilang Negeri Melaka di mana Melaka telah meraikan sambutan Bandaraya Warisan Dunia UNESCO yang ke-9 dan mensasarkan untuk menjadi sebagai Negeri Maju Fasa Kedua menjelang tahun 2020. Sasaran dan kejayaan ini telah memberikan inspirasi kepada Negeri Melaka untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan dengan lebih giat lagi.

2. Moto pelancongan Negeri Melaka Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia dan Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO amat sinonim dan perlu dikekalkan bersama-sama dengan identiti Don’t Mess With Melaka yang telah memberikan inspirasi kepada Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan sektor pelancongan Negeri Melaka di samping mengekalkan Negeri Melaka sebagai sebuah negeri yang terbersih di Malaysia.

3. Jika dilihat dari segi sumbangan pendapatan Negeri Melaka pada tahun 2016, sektor perkhidmatan ini merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan mencatatkan 46.6 peratus atau RM14.467 Bilion daripada pendapatan keseluruhan Negeri Melaka. Ianya menjadi sektor terpenting yang berkembang pesat dan mempunyai prospek pertumbuhan ekonomi yang baik di negeri ini. Pencapaian ini menunjukkan bahawa Negeri Melaka merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang popular di Malaysia selaras dengan temanya Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia.

4. Setengah tahun pertama 2017 menyaksikan banyak pencapaian dan pengiktirafan diterima oleh industri pelancongan Negeri Melaka. Kita percaya semua ini tidak berlaku seperti bulat bergolek atau pipih melayang tetapi di atas usaha semua pihak. Kerajaan Negeri Melaka amat teruja untuk berkongsi pencapaian ini bagi menyuntik semangat di dalam memajukan Negeri Melaka bukan sahaja di sektor pelancongan tetapi juga sektor-sektor lain yang tidak kurang pentingnya.

5. Laporan The British Post pada 19 Mei 2017 telah meletakkan Negeri Melaka di tangga ke-5 dunia sebagai The World’s Trendiest Holiday Destination. Selain itu, Laman sesawang lonelyplanet.com pula menyenaraikan Melaka sebagai 10 Best Destination Must Visit In Asia 2017 di dalam Best In Asia 2017 dan laman sesawang tripadvisor.com meletakkan Melaka sebagai Top 25 Destinations – Malaysia (No. 9)

6. Hotel-hotel di Negeri Melaka turut diiktiraf antara yang terbaik di Malaysia mahupun di dunia. Antaranya Hotel Casa Del Rio, The Majestic Malacca, Courtyard @ Hereen Boutique Hotel, Knock Knock Home, The Bridge Loft dan Old Town Guesthouse.

7. Destinasi makan-makan di Melaka juga menerima pengiktirafan daripada The World Street Food Congress 2017 di dalam Top 50 World Street Food Awards iaitu Nyonya Mee Siam Donald & Lily’s Melaka di tangga ke-34 dan Satay Jalan Kuli, Melaka di tangga ke-43.

8. Kita turut berbangga apabila Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia (MOTAC), telah mengiktiraf Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan yang ke-2 popular di Malaysia pada tahun ini.

9. Kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan adalah amat bermakna sekali kepada industri pelancongan Negeri Melaka dan secara tidak langsung telah memberi pengiktirafan kepada seluruh pemimpin dan rakyat Negeri Melaka yang bersama-sama di dalam membangunkan sektor pelancongan ini. Pengikhtirafan ini juga menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih jitu dan berterusan dalam menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terunggul di dunia. Kita mengharapkan agar industri pelancongan Negeri Melaka terus berkembang dengan lebih pesat lagi selaras dengan visi dan misi Kerajaan Negeri Melaka.

The Stadhuys Melaka

KEDATANGAN PELANCONG

10. Statistik kedatangan pelancong ke Negeri Melaka telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sejak dari tahun 2000 sehingga kini. Sejak tahun 1999 hingga 2016, seramai 146.56 juta pelancong telah melawat Melaka dengan purata peningkatan hampir 3.5% setahun dan purata tempoh bermalam selama 2.16 malam. Dalam tempoh lapan belas tahun tersebut, seramai 108,170,484 orang atau 73.81% yang datang ke Melaka adalah pelancong domestik dan 38,587,687 orang atau 26.19% adalah terdiri daripada pelancong asing. Hasilnya Negeri Melaka telah menerima pendapatan sebanyak RM18.289 Billion, hasil daripada perbelanjaan pelancong yang datang ke Melaka pada tahun 2016.

11. Pada tahun 2016 sahaja, kita telah menerima kedatangan pelancong seramai 16.28 juta pelancong berbanding 15.74 juta pada tahun 2015 iaitu peningkatan sebanyak 3.46% dengan tempoh bermalam selama 2.16 malam. Dari segi pasaran asing pula, China telah mengatasi Singapura untuk menjadi the market leader dengan syer sebanyak 26.72%, diikuti oleh Singapura (24.98%), Indonesia (13.41%), Taiwan (3.11%) dan Jepun (2.36%).

12. Kita yakin pada tahun ini, kita mampu mencapai sasaran 16.75 juta pelancong datang ke Melaka dengan tempoh bermalam sebanyak 3.0 malam dengan hasil pendapatan daripada sektor ini sebanyak RM 18.0 Billion.

ACARA PELANCONGAN & PROGRAM PROMOSI

13. Bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke Melaka, Kerajaan Negeri dengan usahasama pelbagai pihak termasuklah pihak swasta perlulah meneruskan misi pelancongan untuk menganjurkan pelbagai acara pelancongan pada setiap tahun. Di antara acara pelancongan utama yang dicadangkan adalah seperti berikut:-

13.1 Sambutan Melaka Bandaraya Bersejarah pada 15 April 2018 di Dataran Bandaraya, Ayer Keroh, Melaka;
13.2 Karnival Makan-Makan Melaka 2018 pada 11 – 12 Mei 2018 di Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan, Melaka;
13.3 Pesta Antarabangsa Sungai Melaka 2018 pada bulan Mei – Jun 2018 di sepanjang Sungai Melaka;
13.4 Festival Kuih Aidilfitri Negeri Melaka 2018 pada 25 – 27 Mei 2018 di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka;
13.5 Sambutan Malam Tujuh Likur Negeri Melaka 2018 pada 8 Jun 2018 di Pusat Bantuan Pelancong, Ayer Keroh, Melaka;
13.6 Fiesta San Pedro 2018 pada 29 Jun – 1 Julai 2018 di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka;
13.7 Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2018 di Banda Hilir, Melaka;
13.8 Fiesta Melaka 2018 pada 8 – 9 September 2018 di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka;
13.9 Festival Baba & Nyonya Melaka 2018 pada 24 – 25 November 2018 di Jonker Walk, Melaka; dan
13.10 Minggu Pelancongan Melaka & Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 pada 30 – 31 Disember 2018 di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka.

Melaka Fun Map

14. 2018 akan menjadi kayu pengukur kepada kemampuan Negeri Melaka sebagai negeri maju yang terus memberi perhatian utama kepada sektor pelancongan sebagai jentera pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri Melaka melalui Tourism Melaka telah melaksanakan 105 program promosi sama ada di dalam mahupun di luar negara. Usaha ini terus dirancakkan lagi dengan penganjuran lebih 150 buah acara pelancongan yang mampu menarik pelancong supaya datang ke Negeri Melaka.

15. Usaha promosi Negeri Melaka dipergiatkan lagi di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Terengganu bagi pasaran domestik dan promosi pelancongan ke luar negara di beberapa buah negara pasaran utama kedatangan pelancong ke Melaka seperti di Indonesia, Singapura dan China. Bagi promosi untuk pasaran kedua iaitu di Taiwan, Hong Kong dan Jepun, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi lain akan menyertai misi jualan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia di samping menganjurkan Familiarization Tour (Fam Tour) untuk agen kembara dan media dari negara-negara pasaran baru seperti dari India, Vietnam, Myanmar, Sri Lanka, Korea Selatan dan Thailand. Promosi ini juga dilaksanakan melalui market segmentation agar produk pelancongan melalui 13 Sub-Sektor Pelancongan Negeri Melaka yang terdiri daripada Sejarah, Budaya, Rekreasi, Sukan, Membeli-Belah, Konvensyen, Kesihatan, Pendidikan, Pelancongan Agro, Makan-Makan, Melaka Sebagai Rumah Ke-2, Pelancongan Belia dan Pelancongan Eko dapat dipasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa.

PERANAN SEKTOR SWASTA

16. Dalam menuju Melaka Maju Fasa II selaras dengan Wawasan 2020, Negeri Melaka meletakkan sasaran untuk menarik 20 juta pelancong pada tempoh tersebut berbanding dengan Malaysia yang menyasarkan 36 juta pelancong. Angka ini, jika kita lihat amat besar dan amat memerlukan usaha yang berterusan dan strategik di dalam mencapai sasaran tersebut. Selain itu, jika kita lihat kepada tren pasaran pelancongan dunia, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh UNWTO, dunia akan menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong berada di tahap sederhana iaitu meningkat sebanyak 3.3% bagi tempoh 2010 – 2030 berbanding dengan perkembangan yang lebih baik sebanyak 3.6% bagi tempoh 2010 – 2015. Walaupun, dunia mengalami pertumbuhan yang sederhana, jumlah kehadiran pelancong antarabangsa ini akan mencapai 1.8 billion menjelang tahun 2030. Berdasarkan kepada potensi yang ada ini, UNWTO turut menggariskan bahawa mid-scale dan budget segments industri pelancongan akan berkembang dengan lebih pesat. Permintaan terhadap Pelancongan MICE dan penyediaan kemudahan hotel yang bertaraf antarabangsa juga akan bertambah. Ini akan memberikan desakan kepada setiap destinasi pelancongan dunia untuk berlumba-lumba dalam memenuhi permintaan tersebut bagi meneruskan kelangsungan industri pelancongan ini. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk terus memelihara tinggalan sejarah dan khazanah negara khasnya Negeri Melaka bagi menangani globalisasi ini.

17. 2030 akan menyaksikan ledakan globalisasi kepada dunia yang akan menerima kehadiran 4.7 billion pelancong yang majoritinya dari China dan India yang mengutamakan program pelancongan kesihatan yang menjadi tren utama industri pelancongan dunia. Perkembangan sains dan teknologi juga mempengaruhi industri pelancongan secara tidak langsung dengan penggunaan teknologi baru seperti Augmented Reality, Biometrics, Brain Computer Interfaces, Artificially Intelligent Robotic Agents dan sebagainya. Jika kita lihat perubahan ini, secara tidak langsung kita perlu bersedia dan merangka strategi yang lebih jitu di dalam meneruskan kelangsungan industri pelancongan ini terutamanya Melaka yang ekonominya bergantung secara langsung kepada industri pelancongan ini.

18. Selain itu, kita juga perlu bersama-sama menerapkan nilai Think Tourism dan Act Tourism ke arah menggiatkan usaha mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara. Kita mahu melihat kawasan tapak warisan UNESCO berwajah baru tanpa pencemaran dengan mempraktikkan amalan hijau melalui penggunaan kenderaan hijau, berbasikal dan meningkatkan amalan kebersihan. Kempen ‘Don’t Mess With Melaka’ bukan sahaja mengharapkan rakyat menjaga kebersihan tetapi melatih rakyat agar lebih menghargai keunikan yang ada di Melaka, negeri yang bertuah ini. Budaya amalan pelancongan hijau yang positif ini juga perlu diterapkan kepada seluruh rakyat Negeri Melaka agar Melaka terus menjadi sebagai sebuah negeri yang selamat, aman dan makmur untuk semua termasuk generasi kita yang akan datang.

19. Selain itu, peranan dan penglibatan sektor swasta amat penting untuk menjamin perkembangan yang berterusan industri pelancongan Negeri Melaka. Agen-agen kembara, umpamanya, yang terlibat membawa pelancong ke negeri ini diharapkan agar lebih aktif supaya dapat meningkatkan jumlah pelancong yang dibawa masuk ke negeri ini. Di negeri ini terdapat sebanyak 63 Agen Kembara yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia. Kita perlu menyeru kepada agen-agen kembara ini supaya lebih banyak menjual pakej-pakej inbound ke negeri ini. Melaka mempunyai banyak produk pelancongan yang menarik dan berpotensi untuk dipasarkan. Usaha ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama yang erat dengan pihak perhotelan di negeri ini.

20. Selain daripada agen-agen kembara, semua pihak lain yang terlibat dalam industri pelancongan ini seperti pengusaha pelbagai jenis premis penginapan pelancong, pengusaha dan pemilik produk tarikan pelancong, tempat membeli-belah, premis-premis makanan, pengusaha-pengusaha pengangkutan seperti bas, teksi dan beca hendaklah melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing yang boleh memberi kenangan manis kepada para pelancong. Begitu juga dengan peranan setiap rakyat negeri ini agar sentiasa Think Tourism dan Act Tourism dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelancong yang datang melawat ke negeri ini. Diharap, pengalaman manis ini akan mendorong mereka untuk datang semula ke Melaka.

21. Kita percaya melalui kerjasama yang erat antara sektor awam dan sektor swasta ini, kita mampu menjayakan setiap matlamat yang ingin kita capai. Untuk itu Kerajaan Negeri Melaka sentiasa berharap dalam usaha untuk memandu sektor pelancongan negeri ke arah yang lebih cemerlang lagi, setiap pihak hendaklah bekerjasama dan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelancong agar Melaka terus menjadi destinasi pilihan pelancong yang utama di dunia.

Sebarang pertanyaan, mengenai pelancongan di Melaka, sila rujuk kepada :-

Tourism Melaka
G-14, Bangunan Kota Cemerlang,
Lebuh Ayer Keroh, 75450 Ayer Keroh, Melaka.
No. Tel : +606 2328402
Facebook : Tourism Melaka
Instagram : The Fabulous Melaka
Mobile Apps : Destination Melaka

— asmaliana

Other Interesting posts:

Leave a Reply

%d bloggers like this: