Di Melaka juga ada permainan Gasing, seperti mana-mana permainan tradisi yang ada sekarang ianya juga semakin tidak mendapat sambutan daripada anak-anak muda, ramaja dan kanak-kanak. Permainan gasing yang dimainkan di Melaka adalah gasing pangkah. Jenis gasing ini adalah gasing Melayu / gasing berembang. Tidak ramai lagi yang memiliki gasing di rumah sekarang. Mungkin juga atas faktor kesukaran mendapatkan gasing. Yang ada dijual sekarang lebih kepada hiasan dan harganya mahal sedikit berbanding 30 tahun dahulu dimana gasing boleh didapati dikedai runcit dengan harga beberapa sen sahaja.
Pada awal tahun ini seorang tokoh gasing tempatan di Melaka Mr. Koh Kim Bock dari Melaka yang berpengalaman lebih dari 50 tahun dalam dunia gasing diberikan penghargaan Anugerah Khas Tukang Ulung sempena Hari Kraf Kebangsaan 2013 baru-baru ini. Penghargaan itu antara pengiktirafan kerajaan melalui Kraftangan Malaysia kepada usahawan kraf yang berpengalaman luas, berkemahiran tinggi dan mempunyai semangat daya saing terhadap bidang kraf diusahakan. Mr. Koh Kim Bock adalah seorang berketurunan peranakan (Baba Nyonya).
Sedikit waktu dahulu memang di Melaka juga mungkin di negeri lain pertandingan gasing antara kampung suatu perkara yang lazim. Gasing juga antara permainan selepas musim menuai padi. Setiap kanak-kanak ada membawa gasing sendiri sekurang-kurangnya gasing bawang@cina. Sekarang gelanggang gasing kebanyakkan sudah tidak aktif dan ada antara pengusahanya sudah meninggal dunia. Tetapi masih ada pengusaha yang membuat gasing lebih kepada tujuan kraftangan.