Senario Kedatangan Pelancong Ke Negeri Melaka Bagi Tahun 2012

Stadhuys

Prestasi Kedatangan Pelancong Ke Melaka 2012
Bagi tahun 2012, seramai 13,711,134 orang pelancong telah melawat Melaka berbanding 12,144,962 orang pada tempoh yang sama tahun 2011; meningkat sebanyak 1,566,172 orang atau 12.9%. Kenaikan ini didorong oleh peningkatan pelancong domestik seramai 1,127,954 orang atau 12.4% dan kedatangan pelancong asing seramai 438,218 orang atau 14.3%. Pelancong domestik terus kekal sebagai penyumbang terbesar pada tahun ini iaitu seramai 10,198,855 orang atau 74.4% berbanding pelancong asing seramai 3,512,279 orang atau 25.6%.

Lima buah negara yang merupakan pasaran pelancong asing terbesar ialah China (652,002 orang atau 18.6%), diikuti Singapura (584,088 orang atau 16.6%), Indonesia (517,941 orang atau 14.7%), Taiwan (356,409 orang atau 10.1%), dan Hong Kong (217,596 orang atau 6.2%). China kekal sebagai pasaran terbesar bagi pelancong asing bagi tempoh tersebut.

Dari segi pecahan pelancong domestik yang mengunjungi Melaka, Selangor terus mengungguli syer pelancong domestik dengan mencatatkan kedatangan seramai 2,603,751 orang atau 25.5%, diikuti dari Kuala Lumpur seramai 2,379,667 orang atau 23.3% dan Johor di tangga ketiga dengan jumlah pelancong seramai 1,643,693 orang atau 16.1%.

Putra Specialist Hospital

Pelancongan Kesihatan
Sepanjang tahun 2012, jumlah pelancong kesihatan domestik yang telah mendapatkan rawatan kesihatan di 3 buah hospital swasta utama di Melaka adalah seramai 431,139 orang atau 81.9% daripada jumlah keseluruhan pelancong kesihatan Negeri Melaka. Manakala bagi pelancong kesihatan asing pada tempoh tersebut adalah 95,352 orang dan penyumbang utama ialah Indonesia (92.2% atau 87,953 orang). Ini merupakan perkembangan yang baik kepada industri pelancongan kesihatan Negeri Melaka yang dahulunya dimonopoli oleh pelancong kesihatan Indonesia yang melebihi 95.0% daripada keseluruhan pelancong kesihatan asing Negeri Melaka. Pelancong kesihatan daripada Singapura, China, India, Timur Tengah dan Bangladesh mula mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Negeri Melaka.

Tempat Tarikan Utama Pelancong
Di Melaka, Melaka River Cruise menjadi tempat tarikan yang paling popular dengan mencatatkan kedatangan pengunjung tertinggi iaitu seramai 1,100,485 orang atau 17.9%, diikuti oleh Muzium-Muzium Negeri Melaka berjumlah 806,124 orang atau 13.1%, Zoo Melaka seramai 704,630 orang atau 11.4% dan Menara Taming Sari berjumlah 683,173 orang atau 11.1%. Pengunjung domestik terus mendominasi kedatangan di tempat-tempat tarikan ini sepanjang tahun 2012 ini iaitu seramai 5,204,675 orang atau 84.5% berbanding dengan pelancong asing iaitu berjumlah 957,727 orang atau 15.5%.

Secara tidak langsung, usaha Kerajaan Negeri dalam menambah lebih banyak tempat-tempat tarikan pelancongan di Melaka telah memberikan penambahan yang drastik kepada kedatangan pelancong ke negeri ini dan menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mesti dilawati. Kita yakin, penambahan produk pelancongan baru di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-10 seperti Projek Monorail Fasa 2, Perkampungan Hang Tuah, Extreme Park Tasik Chin Chin dan Bird Aviary di Taman Botanikal Melaka bakal melonjakkan lagi kehadiran pelancong ke Negeri Melaka yang bersejarah ini.

Galeri Golf Melaka

Analisa Tren Kedatangan Pelancong Ke Melaka
Berdasarkan kepada tinjauan yang dilaksanakan, kita melihat kedatangan pelancong ke Negeri Melaka ini semakin bertambah dengan begitu mendadak sekali. Di antara faktor yang mendorong kepada peningkatan kedatangan pelancong ini ialah Sambutan Melaka 750 Tahun yang secara tidak langsung telah berjaya menarik kehadiran pelancong ke Negeri Melaka. Sepanjang tahun 2012, Melaka telah menyenaraikan sebanyak 225 buah acara pelancongan di dalam Kalendar Acara Pelancongan Melaka 2012 dengan tambahan sebanyak 191 buah acara pelancongan lain dan kesemua acara tersebut telah berjaya dilaksanakan sempena Melaka 750 Tahun. Selain itu, terdapat beberapa buah acara pelancongan peringkat antarabangsa telah dilaksanakan di Melaka yang menjadikan Melaka sebagai tuan rumah bagi acara tersebut. Di antaranya adalah Raptor Watch 2012, Historical Melaka International Chess Festival 2012, Le Tour de Langkawi 2012, Pesta Gendang Nusantara 2012, 7th Men’s Junior Qualifier Hockey Asia Cup 2012, Melaka World Heritage Music UNESCO, Lawatan Miss Tourism International 2012 ke Melaka dan Melaka International Heritage Rainforest Challenge 2012.

Peningkatan kehadiran pelancong ke Melaka juga disokong juga dengan usaha promosi pelancongan yang dilaksanakan dengan lebih jitu dan berkesan terutamanya bagi pasaran domestik mahupun antarabangsa. Pelbagai program promosi dan pameran pelancongan telah disertai oleh Kerajaan Negeri Melaka sama ada di dalam mahupun di luar negara dengan memfokuskan pasaran tradisi dan pasaran baru yang berpotensi. Usaha-usaha promosi di dalam negara ini diteruskan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Perak termasuklah di Pantai Timur. Bagi pasaran pelancong asing, Kerajaan Negeri Melaka terus memfokuskan usaha promosi di China, Singapura dan Indonesia. Bagi meneroka pasaran yang berpotensi, promosi pelancongan ini diteruskan di Australia, United Kingdom, Eropah, India, Timur Tengah dan di Negara-Negara di Asia Tenggara.

Pencapaian ini juga dibantu dengan pengikhtirafan industri pelancongan Negeri Melaka di pentas dunia di mana Melaka telah tersenarai di tangga ke-28 daripada 45 buah negara yang perlu dilawati pada tahun 2012 oleh The New York Times. Melaka juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada laman web pelancongan yang terkenal di dunia iaitu Tripadvisor.com dan terus mencatatkan kecemerlangannya dalam industri pelancongan negara melalui pengikhtirafan Anugerah Pelancongan Malaysia 2010 / 2011 dengan memenangi 4 kategori.

Selain itu, Melaka terus menjadi pilihan pelancong berdasarkan kepada nilai Think Tourism dan Act Tourism yang menjadi budaya kepada masyarakat Melaka dalam memastikan pelancong yang datang ke Melaka mendapat pengalaman yang indah dan menarik di Negeri Melaka, Bandaraya Warisan Dunia UNESCO. Aspek kebersihan dan keselamatan pelancong juga sentiasa diambil berat. Pendekatan Walkabout yang dilaksanakan di kawasan tumpuan pelancong juga membantu meningkatkan taraf kemudahan dan perkhidmatan pelancongan agar mencapai standard antarabangsa dan memenuhi keperluan pelancong.

Sasaran 2013
Kejayaan industri pelancongan ini adalah hasil usaha oleh semua pihak, khususnya political will dan usaha gigih YAB Ketua Menteri Melaka sendiri. Beliau adalah arkitek industri pelancongan Melaka. Kini pada tahun 2013, Kerajaan Negeri Melaka mensasarkan 13 juta orang pelancong akan mengunjungi Melaka. Peningkatan sasaran ini adalah berdasarkan kepada kejayaan Negeri Melaka yang telah dapat menarik 13.7 juta pelancong pada tahun 2012. Usaha yang lebih gigih untuk menggamit pelancong domestik dan prakarsa yang lebih kreatif untuk menawan pasaran pelancong asing baru seperti Timur Tengah, Australia dan Amerika Syarikat. Usaha terus digalakkan lagi secara berterusan dan lebih strategik lagi untuk pasaran pelancong asing tradisi seperti China, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Hong Kong untuk melancong ke Malaysia / Melaka.

— asmaliana

Other Interesting posts:

Comments
  1. en iz

Leave a Reply

%d bloggers like this: