Pengiktirafan Melaka Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Stadhuys

Melaka telah diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Jawatankuasa Warisan Dunia di dalam persidangan kali ke-32 di Bandaraya Quebac, Kanada pada tahun 2008. Upacara penyerahan watikah pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri Melaka telah berlangsung pada 7 Julai 2008. Kerajaan Negeri Melaka dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia telah bekerjasama bagi memastikan segala kaedah pengurusan dan tanggungjawab yang perlu dijalankan mengikut kehendak dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak UNESCO. Pelbagai strategi dan rangka kerja telah diatur untuk memastikan pengiktirafan ini memberi impak positif kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri dan masyarakat di Negeri Melaka. Kerajaan Negeri Melaka juga merancang serta sedang mempertingkatkan kualiti pengurusan serta kemudahan infrasturktur yang merangkumi aspek pengindahan kawasan, memperbaiki khidmat pengangkutan awam dan pelbagai lagi bagi memastikan Melaka terus menjadi tumpuan pelancongan dari luar mahupun dalam negara.

UNESCO Sites View

Kerajaan Negeri turut melibatkan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan dan pihak swasta di dalam program-program serta aktiviti yang dianjurkan. Melalui kerjasama yang dijalankan, tahap kesedaran mengenai kepentingan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dapat dipertingkatkan.

Keluasan kawasan warisan yang diktiraf oleh pihak UNESCO adalah 288.10 hektar yang terbahagi kepada 2 kawasan iaitu Kawasan Warisan Utama (45.3 hektar) dan Kawasan Penampan (242.8 hektar)

Melaka World Heritage Sites

Terdapat sebanyak 1,075 buah bangunan warisan di dalam kawasan warisan utama manakala sejumlah 1,975 buah bangunan warisan di dalam kawasan penampan menjadikan jumlah keseluruhan bangunan warisan adalah sebanyak 3,050 buah bangunan. Ia terdiri daripada pelbagai jenis bangunan seperti rumah kedai, bangunan keagamaan, bangunan pentadbiran, gudang dan perkampungan Melayu.

Melaka diiktiraf melalui 3 kriteria nilai warisan sejagat iaitu kriteria II,III,IV
Kriteria II

Melaka mempunyai ciri-ciri nilai warisan sejagat sebagai bandar pelabuhan di timur dan di Asia Tenggara, terhasil melalui perdagangan serta pertukaran budaya di antara Melayu, Cina, India dan penjajahan pihak Portugis, Belanda dan Inggeris. Keadaan ini telah mempengaruhi senibina, rupabentuk bandar dan teknologi yang ada di Melaka, Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

Kriteria III
Melaka merupakan contoh bandar yang mempunyai kepelbagaian warisan kebudayaan serta tradisi Asia dan pengaruh Eropah. Warisan kebudayaan serta tradisi ini dapat dilihat melalui kepelbagaian rumah ibadat, petempatan kaum, kepelbagian bahasa, perayaan keagamaan, pakaian, makanan dan cara hidup masyarakat setempat.

Kriteria IV
Melaka masih mencerminkan percampuran pelbagai pengaruh yang menghasilkan keunikan dari segi senibina budaya dan rekabentuk bandar yang tidak sama dengan mana-mana bandar di timur dan selatan Asia.

Jumlah Keseluruhan Kawasan: 288.10 hektar

Jumlah Bangunan di Zon Utama adalah sebanyak 1,075 dan di Zon Penampan pula sebanyak 1,975. Jumlah keseluruhan bangunan yang terdapat di Tapak Warisan Dunia Melaka adalah sebanyak 3,050 unit.

Daripada keseluruhan Kriteria ini, Melaka telah diiktiraf sebagai sebuah Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008 dan secara tidak langsung, telah meletakkan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan yang wajib dilawati di dunia.

UNESCO Sites

— asmaliana

Other Interesting posts:

Leave a Reply

%d bloggers like this: